Titian Menuju Kedamaian (Bahagian 3 - Persiapan)

Assalamualaikum semua! Entri kali ini khas untuk persiapan bakal jemaah ya. Ada yang terkurang terlebih maafkan ya.


SEBELUM MENGERJAKAN UMRAH (DOKUMENTASI)

  1. Buat passport/renew passport. Renew online ya sekarang, untuk yang baru nak buat passport sahaja kena buat secara fizikal di jabatan imigrisen. Tapi yang online inilah yang paling menggugat keimanan hihi. Bertabahlah ketika nak upload gambar passport itu ya. Keberangkalian untuk kau berulang-alik betulkan sizing gambar di kedai gambar itu sangat tinggi. Ini laman web untuk renew https://imigresen-online.imi.gov.my/eservices/main 
  2. Visa umrah. Ini disediakan travel agent. Kalau persendirian itu tidak pasti.
  3. Suntikan wajib ; Meningococcal Quadrivalent (ACYW-135) Vaccine (Perlu diambil sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ke Tanah Suci. Suntikan wajib untuk semua jemaah - arahan pihak berkuasa Arab)
  4. Suntikan tambahan (pilihan) ; Influenza Vaccine (Terbaik diambil sebulan sebelum berangkat ke Tanah Suci)
  5. Suntikan-suntikan ini ada pakej dan harga berbeza mengikut klinik atau pusat kesihatan masing-masing. Rajinkan untuk buat comparison tapi tak jauh beza pun sebenarnya.
  6. Bagi yang kerja kerajaan, mohon pelepasan ke luar negara jangan lupa ya. Nanti ada yang kena tahan di imigrisen kang hihi.
  7. Semak status perjalanan ke luar negara boleh atau tidak di laman web https://sspi.imi.gov.my/SSPI/
  8. Semak status covid Vaccine anda cukup atau tidak sehingga Booster pertama. 
  9. Tukar duit sedikit demi sedikit. Sebenarnya kalau kau tak shopping, RM2k cukup dah termasuk emergency untuk seorang. Tapi kalau kau nak shopping itu, hurm pepandailah bawa ya.
  10. Ambil insurance travel persendirian (Lebihkan 2 hari sebelum dan 2 hari selepas tarikh berlepas). Cadangan: AIA (travel agent sediakan insurans berkelompok).
  11. Fotostat passport, e-visa, buku vaccine umrah (warna kuning) dan vaccine dari MySejahtera.
  12. Aktifkan penggunaan kad debit di luar negara (ikut tarikh anda berada di sana ya. Lebihkan sehari sahaja). 

SEBELUM MENGERJAKAN UMRAH (PERSIAPAN PAKAIAN/PERALATAN)

Jemaah Wanita

  1. Bawa jubah 2 helai, jubah seluar 3 helai, baju tidur 2 pasang, mini telekung 2 helai, tudung sarung 3 helai, stongan 3 pasang, stokin wuduk hitam/kulit 3 pasang, selipar 1 pasang, kasut 1 pasang, anak tudung 3 helai, inner 2 helai, baju dalam dan seluar dalam itu terpulang kepada keselesaan masing-masing. Lagi bagus jika material pakaian semuanya cepat kering sebab anda akan pakainya banyak kali. Boleh basuh guna perkhidmatan di sana cuma harganya mencengkam dada hihi. Di Kota Mekah agak makan masa nak kering sidai dalam toilet, tapi di Kota Madinah eh tada, sudah kering hihi.
  2. Aku prefer pakai jubah seluar ketika buat tawaf atau umrah sebab senang nak bergerak. Jubah kain ni pakai waktu nak solat Maghrib dan Isyak.
  3. Mini telekung sekarang ada yang bertangan tu kan? Bawalah yang itu sebab dia ada poket sekali. Sangat-sangat berguna.
  4. Bawalah pantiliner dan pad sebanyak mana pun. Double kan dari kuantiti yang biasa di pakai di Malaysia.
  5. Ubat-ubatan. Fuh ini paling-paling crucial. Panadol = 5 papan/orang, ubat selsema = 2 papan/orang, sakit tekak = 2 papan/orang, ubat batuk = 2 botol/orang, ubat gastrik/gaviscon sachet = 2 kotak/orang. Dan selebihnya ubat-ubatan sendiri. Minyak angin, minyak cap kapak bawalah semua. Sangat-sangat diperlukan ketika di sana. Sebab mahal ya kos di sana.
  6. Di sana, aku tak pakai bag agensi hihi tapi aku pakai tag agensi! Sebab aku prefer bawa bag galas kecil. Memang aku sembunyikan dalam mini telekung aku yang bertangan. Macam starfish gitew hihi.
  7. Selipar ini bawa yang cepat kering. Sebab kau akan masukkan dalam beg kasut dan akan letak di sisi/hadapan kau ketika solat. So selipar itu biarlah yang ringan dan cepat kering. Toksah mahal-mahal, asalkan bersih.
  8. Kasut digunakan bila ada lawatan. Banyak tempat berbukit, nak pakai sandal tiada masalah tapi atas risiko sendiri ya.
  9. Sejadah kecil dan botol spray kecil. Kalau naik Malaysia Airlines, mereka akan provide semua ini. Tapi tak nak ambil risiko, kau bawalah sesiap dari Malaysia. Sejadah kecil ini digunakan bagi sesiapa yang kulit sensitif atau hidung sensitif. Sangat berguna bila kau tengah batuk atau selsema. Botol spray kecil ini bila kau dalam keadaan terdesak nak ambil wuduk, kekangan masa, tempat wuduk ramai orang/jauh, botol magik ini menjadi life saver kau! Hihi.
  10. Face mask/purdah. Ini terpulang kepada individu ya. Aku dedua pun pakai sebab satu tempatnya berdebu pasir. Aku ada bawa yang nose hole cover tu tapi rimas, rasa macam bertindik hidung aku hihi. Satu lagi sebab aku tak sihat, so tak selesa bila batuk selsema kong kang kong kang bunyi, orang sebelah mesti nak siku aku haha.
  11. Cermin mata hitam. Ini terpulang pada individu. Dapat macam aku yang silau ini, memang keperluan wajib bagiku. Cuma waktu tawaf di siang hari itu, hanya Allah tempat aku mengadu hahahaha. Reflector jubin putih itu memang haru biru iman aku ketika tawaf tapi sabar Alia sabar...
  12. Quran, terpulang nak bawa atau tidak. Sebab di sini kau celik mata sahaja nampak Quran sudah. Memang banyak. Siap boleh cop, okay ini untuk solat Zohor, yang ini pula untuk solat Asar, oh yang ini untuk solat Maghrib hihi.
  13. Kamera? Haaaaaaaa, yang ini jejaga. Jangan sampai polis pak arab nampak. Kalau dalam masjid atau dalam kawasan Kaabah, A BIG NO. Kalau tidak, mereka akan rampas dan delete semua gambar yang ada dalam kamera. Sebenarnya ambil gambar kertas doa/gambar manusia kemudian berlatarbelakangkan Kaabah pun  A BIG NO ya. Kalau kena tangkap, sadaqallahulazim lah ya.
  14. Makanan/snacking. Bawalah maggi cup ke serunding ke. Ada satu tahap, tekak kau akan cari makanan Malaysia. Sungguh makanan sini sedap tapi kalau dah nama Malaysian itu Malaysian lah juga. Ada restoran Malaysia tapi kalau rajin, pergilah menapak. Ini bagi jemaah yang kurang rajinnya hihi.


Jemaah Lelaki

  1. Bawa diri sahajalah hahahahaha. Okay gurau. Lelaki tiada masalah sebenarnya sebab survival skill mereka ini tiptop. Jalan pakai seluar tanpa baju pun mereka no hal. Okay serius Alia.
  2. Kain ihram. Yang ini personally lah ya, bawa 2 pasang dan tebal. Jangan bawa yang nipis. Percayalah, cawat yang dibawa itu akan jadi hiasan sahaja sebab ramai tak selesa untuk pakai. So nasihat aku, pakailah yang tebal punya. 
  3. Jubah 2 pasang, kurta 2 pasang, seluar 2 pasang, baju tidur 1 pasang, kain pelikat 1 helai, selipar/sandal 1 pasang. Kasut ini terpulang.
  4. Yang selebihnya ini boleh rujuk di ruangan Jemaah Wanita. Sebab itu aku habaq, lelaki ini mudah hidup. Kalau tak cukup, depa diam sahaja hahahaha. Pandailah mereka mencukupkan. 

Ada apa-apa yang aku tertinggal, boleh sahaja drop komen ya. Setakat ini sahaja aku boleh kongsikan. Anggap macam nak balik kampung cuma kampung ini spesial sedikit hihi. 


Ahlan wa Sahlan! Jazakallahu Khairan

Comments

Popular posts from this blog

Titian Menuju Kedamaian (Bahagian 2 - Madinah)

Titian Menuju Kedamaian (Bahagian 1 - Mekah)