Titian Menuju Kedamaian (Bahagian 1 - Mekah)

Assalamualaikum semua! Lama tak jumpa ya. Aku sibuk dengan duniawi, maka banyak benda aku ketinggalan termasuklah mengisi kesepian rohani aku. Entri kali ini aku akan kongsikan serba sedikit pengalaman aku mengerjakan ibadah Umrah (semoga Alia dikurniakan Umrah Mabrur, Amin). Dan harapnya perkongsian ini dapat menjadi salah satu medium untuk dijadikan rujukan bakal jemaah umrah yang dikasihi Allah sekalian.


Bismillahirahmanirahim.


Sebelum itu, para bakal jemaah yang dikasihi Allah, sebelum mengerjakan Umrah, perbetulkan niat dahulu. Ingat, Allah bayar cash di sana 😀.


Mukadimah.


Aku membuat persiapan dari segi mental dan fizikal berperingkat untuk mengelakkan cultural shock. Dari sehari ke sehari aku cari rujukan untuk tambah ilmu, beli barang-barang kelengkapan Umrah untuk ahli keluarga yang lain termasuk aku, dan kelengkapan serta persiapan rohani. Siapa tak takut pergi tanah haram, bukan?


Aku nasihatkan para jemaah untuk sediakan kelengkapan Umrah sedikit demi sedikit. Elakkan daripada beli segedebuk dalam satu masa. Sakit hui 😅 Tapi jangan berlebihan ya wahai jemaah yang dikasihi Allah sekalian, berpada-pada. Sebagai first timer, jujur semua benda nak ada, itu ini semualah, sebab kita tak dapat jangka apa-apa yang akan berlaku sepanjang 10-14 hari di tanah haram. Faham. Maka entri ini dicipta untuk meringkan beban para jemaah sekalian.


Kebetulan aku pergi ketika musim masih panas tapi angin sepoi-sepoi bahasa (sepoi tak sepoi melayang juga aku, angin depa kuat 😆). Di bumi Mekah, panas waktu tengahari sahaja. Selain daripada waktu ini, Alhamdulillah panas tapi tak panas. Sulit nak perkatakan tapi memang tidak panas. Subhanallah. Lagi satu, sepanjang di bumi Mekah rasa masa berjalan sangat-sangat perlahan. Kuasa Allah, Subhanallah. Yang penting, sentiasa berdoa pada Allah dipermudahkan segala urusan. InshaaAllah. Di bumi Mekah, memang fokus kau akan tertumpu untuk tunaikan ibadah. Celik mata sahaja, terus ingat rumah Allah. Kejar sebanyak mana kau nak kejar pahala beribadah di bumi Allah. Setiap ibadah dilakukan, 100,000 kali pahala dititipkan Allah kepada kau. Tapi ingat, jangan pentingkan diri. Memang kita perlu berebut dalam satu satu ketika tapi tolong jadi seorang manusia yang pedoman dan berakhlak mulia di bumi Allah.


Kurangkan untuk lakukan benda-benda lagha. Tahan diri itu tahan. Jemaah wanita, kalau nak shopping, buat waktu dalam lawatan ke tempat-tempat bersejarah di situ. Bila ada masa free and easy, elakkan daripada shopping, tapi banyakkan ibadah. Kau akan jumpa semua mazhab yang ada dalam dunia. Setiap kali terdetik apa-apa, terus istighfar atau selawat ke atas Nabi. Kita bukan sesiapa nak judge jemaah di situ. 


Sedekah Duit; Ada peluang untuk sedekah, sedekahlah pada petugas-petugas di Masjidil Haram. Mereka teruja betul kalau nampak jemaah Malaysia (dengar cerita, jemaah Malaysia suka sedekah pada mereka). Tapi ingat, pandai sembunyi-sembunyi, nanti awak dikerumuni yang lelain hihi. Bagi jemaah wanita, petugas wanita berada di mana-mana. Mereka fasih berbahasa Arab dan Melayu. Sangat baik Alhamdulillah. Wakaf Quran; dinasihatkan untuk tanya Mutawwif, selalunya mereka akan bantu. Jangan beli sembarangan Quran di tepi jalan ke kedai ke, kerajaan di situ larang sebab tiada cop pengesahan daripada pihak tanggungjawab yang menjaga kepeliharaan naskah dan kandungan Quran di situ. Sedekah Makanan kepada Sabil; ini juga dinasihatkan untuk tanya Mutawwif, selalunya mereka akan bantu. Semoga dipermudahkan semuanya.


Setiap percakapan kau mahu secara lisan atau dalam hati, akan dimakbulkan ya. Hati-hati. Aku bercakap berdasarkan pengalaman sendiri, Subhanallah Allahuakbar Alhamdulillah Astagfirullah. Paling aku akan ingat adalah bilamana aku hampir give up sebab bangun lambat untuk rebut solat Subuh. Waktu solat masuk pukul 5 pagi begitu, perlu keluar pukul 3.30 pagi untuk rebut solat di ruangan Kaabah. Tapi waktu itu telah pun pukul 4.15 pagi ketika kami tiba. Tengok muka ibu, ibu seperti berharap, maka kami cubalah nasib. Alhamdulillah ya Allah, elok sahaja pagar situ terbuka luas untuk kami masuk. Ikutkan pukul 4 pagi dah tutup sebab mereka berikan keutamaan kepada jemaah lelaki di ruangan Kaabah. Banyak lagi sebenarnya tapi biarlah ianya menjadi cerita antara aku dengan Allah hihi. Yang penting, nak apa-apa cakap sahaja, sama ada kau perasan atau tidak sahaja benda itu berlaku hihi.


Jemaah wanita dinasihatkan untuk tidak berjalan seorang. Bahaya. Ya tahu, percaya pada Allah, Allah Maha Berkuasa untuk menentukan segalanya. Tapi Allah berikan akal dan fikiran untuk hambaNya berfikir.


IHRAM


Tengok tentatif Umrah memasing. Kalau tiba di Mekah dahulu, untuk jemaah lelaki, pakailah kain ihram dan tshirt sesiap dari rumah. Nanti lepas check in bagasi semua barulah tukar tshirt itu kepada kain ihram, bahagian atas dahulu. Dinasihatkan begini kerana nanti di atas kapal terbang, tak selesa. Tandas ruangnya kecil. Untuk jemaah wanita, dinasihatkan untuk memakai pakaian warna putih/bersih dan menutup aurat (bahagian bawah dagu, pergelangan tangan, kaki perlu tutup bagi mengelakkan dikenakan dam). Kedua-dua jemaah, nak pakai minyak wangi, pakailah sebelum niat ihram ya. Awak semburlah satu botol sekalipun hihi sebab dah niat ihram nanti tidak boleh pakai apa-apa yang wangi di badan/pakaian ya.


Bila nak niat ihram? Kalau naik Malaysia Airlines, pramugara/pramugari akan announce bahawa kapal terbang sudah melalui kawasan untuk Miqat. Selalunya selepas hidangan kedua dihidangkan hihi. Terus berniat ihram ya, jangan bertangguh sebab sekejap sahaja kapal terbang lalu dalam kawasan itu. Nanti kena bayar dam. Digalakkan untuk berniat ihram bersyarat, 'Sahaja aku mengerjakan Umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala, dan sekiranya aku didatangkan keuzuran, maka aku bertahlul kerana Allah Taala'. Kenapa niat ihram bersyarat? Sebab kita merancang, Allah menentukan. Sekiranya kita dah niat ihram bersyarat, dan tetiba kita dimasukkan hospital/period, kita boleh terus bertahlul (gunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut) untuk memutuskan ikatan ihram itu. Jika tidak, kita akan dikenakan dam selama mana kita dalam keuzuran kerana kita berniat ihram tidak bersyarat. Beza dua ini. Wallahualam.


Miqat Maqani ini bermaksud sempadan tempat terakhir bagi seseorang jemaah dari luar kota Mekah untuk berniat ihram umrah atau haji. Tidak boleh berniat ihram ketika masih dalam kawasan Mekah. Maka, kalau anda nak buat umrah sama ada umrah wajib/sunat (Umrah Wajib sekali sahaja), anda perlu keluar dari kota Mekah. Umrah sunat boleh buat banyak kali (untuk diri sendiri/untuk orang lain).


Lokasi Miqat Maqani. 


1. Yalamlam

Lokasi ini untuk jemaah yang datang dari arah Yaman dan Asia seperti Indonesia, Malaysia, Singapura dan negara-negara Asia lain. Pada satu ketika dahulu, jemaah Malaysia yang menunaikan haji atau umrah menaiki kapal laut mengenakan pakaian ihram dan berniat ihram di atas kapal apabila melalui lokasi ini.


2. Bir Ali atau Zul Hulaifah

Lokasi miqat ini terletak kira-kira 12 km dari Madinah atau kira-kira 450 km dari Mekah. Ia merupakan lokasi miqat bagi jemaah yang datang dari arah Madinah dengan menaiki bas, kereta dan sebagainya.


3. Al-Juhfah

Lokasi miqat bagi jemaah yang datang dari arah Mesir, Syam, Tunisia, Jordan, Lubnan, Palestin dan sebagainya.


4. Zatu Irqin

Lokasi miqat bagi jemaah yang datang dari arah Iraq dan sama arah dengannya.


5. Qarnul Manazil

Bagi jemaah yang datang dari arah Najd, Kuwait dan jemaah Malaysia dan Asia Tenggara yang datang dengan menaiki kapal terbang.


TAWAF


Am: Niat tawaf. Ketika tawaf, kalau risau dirempuh, bacalah doa rutin/doa dalam setiap pergerakan solat/doa selepas solat. Cakaplah dalam bahasa apa sekalipun, Allah faham, inshaaAllah. Yang penting niat kita ketika itu. Jangan kalihkan bahu ketika tawaf, sentiasa letakkan Kaabah di bahu sebelah kiri. Yakin habis 7 kali pusingan. Tawaf perlu berwuduk ya. Jika terkentut ketika tawaf, tawaf pusingan itu sahaja batal, bukan keseluruhan tawaf. Ambil wuduk dan sambung semula. Habis tawaf 7 kali terus buat solat sunat tawaf di kawasan Iltizam. 


Mata jangan meliar sebab macam-macam ragam kita akan jumpa dan tempuhi sepanjang di sini. Cepat-cepat istighfar dan back on track! Tawaf boleh dilakukan di kawasan kaabah atau di bahagian luar kaabah (ada banyak tingkat, tingkat 1 di kaabah untuk pejalan kaki, tingkat 2 untuk berkerusi roda, tingkat 3 dan 4 untuk yang memakai motor). Bayaran untuk guna roda aku tidak pasti tapi untuk motor (guna untuk tawaf dan saie = 120SR).


Lelaki: Lelaki ketika tawaf, tidak boleh pakai apa-apa yang berjahit, pakai cawat Umrah/Haji (tali kena ikat reben ya, bukan ikat mati), tidak boleh tutup kepala (towel/cap/payung), tidak boleh pakai selipar, bahu kanan perlu didedahkan (tutup semula selepas habis tawaf untuk melakukan saie). Lupa nak bagitahu, lelaki kalau nak solat di kawasan Kaabah, wajib memakai kain ihram. Kalau tidak, kena tendanglah dengan polis situ hihi. Yang memakai selain daripada kain ihram (lelaki) akan solat di dalam masjid. Dahulu pakaian biasa boleh tapi peraturan sekarang tidak boleh.


Wanita: Wanita bebas untuk memakai pakaian apa pun selagimana ianya menutup aurat. Dilarang menutup muka (pakai mask/purdah/niqab). Pakai cermin mata besar gedabak sampai tutup satu muka pun tidak boleh ya teman-teman. Dilarang memakai sarung tangan. Di sini, aku difahamkan jika tersentuh yang bukan mahram dengan tidak sengaja tidak batal wuduknya. Betulkan aku jika salah ya. Wanita sila pakai kasut tawaf (ala-ala stokin tapi bahagian tapak dia keras).


Tips Tawaf: Ada tangan-tangan yang menghulur untuk bantu anda ketika mengerjakan tawaf di waktu malam (1 pagi hingga 3 pagi). Tangan yang anda sangkakan tangan huluran malaikat rupanya.... hihi. Hati-hati ya. Mereka akan bantu anda untuk mengucup hajarul aswad dan selepas itu akan caj anda dengan bayaran yang wow. Berterbangan poketmu....


SAIE


Pastikan para jemaah sudah melakukan sunat tawaf ya. Saie ini dilakukan sebanyak 7 kali pusingan bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Para jemaah perlu naik sedikit bukit, jangan mengelat ya, tidak sah saie nanti. Jauh antara Bukit Safa dan Marwah lebih kurang 500 meter. Memula mungkin terkejut sedikit sebab baru lakukan tawaf 7 pusingan hihi tapi inshaaAllah bila nak buat umrah sunat selepas itu akan makin mudah sebab kita dah familiar. Jangan risau, semua orang akan merasakan pengalaman yang sama dan perbanyakkan doa supaya dipermudahkan segala urusan kita mengerjakan ibadah umrah. Yakin ya 7 kali pusing dan macam ketika tawaf, jangan sibuk-sibuk nak cari kawan, terus maju ke hadapan dengan membaca doa-doa ketika saie. Tak perlu kabut-kabut nak habiskan cepat. Sini tenang-tenang sahaja baca doa di buku. Jika tidak, seperti tawaf, bacalah doa rutin/doa dalam setiap pergerakan solat/doa selepas solat. Di situ ada air zam-zam. Jika hendak minum, berhenti seketika dan minum. Kemudian nak sambung semula perjalanan, mundur langkah 3 ke belakang, dan barulah mulakan perjalanan untuk saie.


Tips Saie: Ada khidmat motor dan kerusi roda. Personally aku tiada pengalaman namun dinasihati kenalan untuk berhati-hati ketika menggunakan khidmat 2 kenderaan ini. Selagi belum habis saie, jangan bayar dahulu kerana ada kemungkinan anda akan dikenakan caj jauh beza daripada yang dijanjikan sebelum ini. Namun jika anda niat bersedekah, itu tiada masalah. Sebab bukan mudah hui nak tolak 500m x 7 kali...


TAHLUL


Jangan terus leka ya usai habis saie. Terus bertahlul. Pengalaman aku sendiri, habis sahaja saie, aku terduduk di tepi sebab ya Allah letih dah lama tak exercise hihi. Kemudian ada akak jemaah group aku tegur tanya dah tahlul ke belum. Terus bingkas aku ambil gunting yang aku dah bawa sesiap untuk gunting. Bagi jemaah wanita, sembunyi-sembunyilah sedikit untuk gunting rambut itu kerana anda masih dalam ihram. Kalau tidak dalam ihram pun, banyak bahagian pada diri kita ini dikira aurat jika terdedah hihi. Lelaki disunatkan untuk botak. Botak di kedai luar itu selalunya 10SR. Jangan risau, bila anda nak pulang ke hotel akan ada pak Arab akan tahan untuk promote kedai dia sebab dia tengok anda dalam kain ihram hihi. Tapi nak shave sendiri dalam bilik hotel pun tiada masalah, bawalah sesiap shaver dari Malaysia.


Tips Tahlul: Bawa gunting sesiap dari rumah ya. Hindarkan diri anda daripada guna gunting yang dihulurkan oleh mana-mana tangan di situ melainkan jemaah kumpulan anda sendiri. Ada kemungkinan anda akan dikenakan caj yang bisa buat poket anda berterbangan hihi.


Alhamdulillah. Selesai sudah umrah anda. Tak rumit inshaaAllah. Ambil masa 2-3 jam sahaja. Buat pertama kali kita akan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga, jaga wuduk, jaga pandangan, jaga angin kuskus keluar dari bawah hihi, tapi bila dah buat banyak kali umrah sunat selepas itu, inshaaAllah, tak betah duduk lama dalam bilik hotel, mesti selalu nak pergi ke masjid. Personally, aku suka buat tawaf sunat sebab dalam dunia ini, Kaabah sahaja yang tidak boleh aku pegang atau lihat di mana-mana, cuma ada di kota Mekah 😢. Jika nyawa aku tidak panjang, sekurang-kurangnya aku puas pandang Kaabah walaupun tidak pernah akan puas (pandang Kaabah sahaja dapat pahala wahai jemaah sekalian).


Rebutlah peluang sebanyak mana yang anda ada untuk beribadah di Masjidil Haram. Sebelum subuh paling ramai jemaah sebab ramai rebut nak tawaf. Pukul 7 pagi dan ke atas paling kurang jemaah sebab selalunya untuk jemaah luar, lawatan ke tempat bersejarah akan dilakukan di sebelah awal siang sebab tak nak langgar waktu solat Zohor, Asar dan Maghrib dan Isyak yang semuanya sangat dekat-dekat jarak waktunya. Tempat-tempat lawatan kebanyakannya dekat-dekat namun bila dalam satu masa 10 bas jemaah serentak datang, jem mat 😅 Hari Jumaat paling ramai manusia sebab mereka cuti hari Jumaat.


Kalau beribadah di dalam Masjidil Haram, bertabahlah dan bersabarlah. Oh ya, jangan lupa beg kasut ya. Seeloknya bawalah yang murah punya dan yang boleh kau carry di belakang. Jangan letak di rak kasut, kalau tidak, bai bai selipar! Untuk air zam-zam pula, ada yang asli dan ada yang separuhnya asli ya. Ambil air zam-zam yang dari tong coklat cair yang selalu kau akan nampak petugas di situ refill, bukan yang dari pili air. Di tong itu juga, ada dua; neutral dan cold. Bagi menjaga kesihatan, elakkan minum cold berlebihan. Nanti anda akan join acara batuk siapa paling kuat ketika solat jemaah hihi.


Di Masjidil Haram, setiap solat fardhu, akan ada solat jenazah ya. Ikutlah sekali, bukan selalu kau dapat peluang untuk solat jenazah, betul tak? Ini setiap solat pula tu. Kadang tak ada jenazah pun di situ, mereka buat solat jenazah ghaib. Di Mekah dan Madinah tiada doa qunut ya ketika solat Subuh. Nak solat di Mekah, kena datang 2 jam sebelum waktu masuk ya. Kalau tidak, atas bumbung pun belum tentu ada tempat untuk kau. Sangat berbeza di kota Madinah (personally aku lah yang cultural shock hahahaha).


Dan last but not least, untuk wanita, elakkanlah daripada melaram ketika hendak beribadah. Pakai sahajalah telekung dan jubah atau seluar yang bersih. Dan jaga beg ke mana sahaja anda pergi. Kurangkan selfie. Jujur perbuatan anda ini sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi jemaah lain sebab ada yang berhenti bebetul tengah orang tengah solat/tawaf/saie. Again, para jemaah sekalian, niat mohon diperbetulkan 😣 Kasihanilah para jemaah lain yang mungkin sekali itu sahaja mereka berkesempatan untuk menunaikan Umrah. Lagi satu, polis Arab di sini pantang ya kita berhenti tunggu kawan tengah jalan ke pakai kasut tengah dunia ke, memang kena halau. Kalau nak tunggu kawan/jemaah lain, tunggu di hotel sahajalah terus.


Kita jumpa di entri seterusnya ya. Tak habis lagi lah hihi

Comments

Popular posts from this blog

Titian Menuju Kedamaian (Bahagian 3 - Persiapan)

Titian Menuju Kedamaian (Bahagian 2 - Madinah)